ADAB-ADAB DAN ETIKA PETUGAS DALAM PENGENDALIAN AKTIVITI PELUPUSAN AL-QURAN
- Memulakan aktiviti pelupusan dengan bacaan ‘basmalah’.
- Petugas atau pengendali hendaklah sentiasa dalam keadaan berwuduk dan tidak berhadas besar setiap kali mengendalikan proses pelupusan.
- Hendaklah berpakaian yang menutup aurat dan sopan ketika mengendalikan proses pelupusan.
- Aktiviti pelupusan yang melibatkan proses pembakaran dan penghasilan kiub abu perlulah mempunyai kelengkapan dan alat yang mencukupi iaitu sarung tangan, penutup hidung (mask) dan berkasut.
- Mengangkat, membawa serta menyusun naskhah Al-Quran dengan penuh hormat dan sopan.
- Kerja-kerja menceraikan setiap helaian daripada buku / bahan-bahan bercetak hendaklah dilakukan dengan sopan dan penuh hormat.
- Petugas atau pengendali hendaklah menjaga dan mengawal tapak pelupusan Al-Quran daripada dicerobohi oleh pihak yang tidak berkenaan.
- Mushaf Al-Quran dan bahan-bahan bercetak yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran hendaklah disusun di tempat yang tinggi, atau berlapik dengan suatu alas yang sesuai, atau diletakkan di tempat yang difikirkan sesuai untuk menjaga kehormatan Al-Quran.