KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Kerajaan negeri akan membuka tiga Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) lagi pada Januari tahun depan, masing-masing di Permaisuri, Setiu, Kerteh 1, Dungun dan di Kijal, Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, ini menjadikan sembilan SRIDI dibuka kesemuanya bagi menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Katanya, kos keseluruhan untuk mentadbir urus semua SRIDI berkenaan dianggarkan berjumlah RM6.8 juta setahun. Ini termasuk RM3.4 juta untuk mengendali dan menyelenggara tiga SRIDI baharu tersebut.

Menurut beliau, pelajar baharu dan pelajar Tahun Satu dari SRIDI sebelum ini boleh berdaftar di sekolah berkenaan.

“Pendaftaran untuk pelajar baharu boleh dibuat secara dalam talian di portal sridionline.terengganu.gov.my,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Paka itu berkata, setiap SRIDI akan membuka dua kelas dengan sembilan tenaga pengajar serta pengurusan sekolah.

“Kerajaan akan membuat pengambilan baru tenaga pengajar dengan sesi temuduga seterusnya kursus induksi selama dua minggu akan diadakan tidak lama lagi,” jelasnya.

Katanya, Kerajaan Terengganu telah membuka enam buah SRIDI awal tahun ini masing-masing sebuah di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun; Ajil (Hulu Terengganu), Binjai Rendah (Marang), Manir (Hulu Terengganu) dan Kampung Raja (Besut).

Katanya, SRIDI Permaisuri ditempatkan di Wisma Yayasan Islam, Bandar Permaisuri, Setiu, SRIDI Kemaman di bangunan baharu Kijal manakala SRIDI Dungun di Bangunan Sekolah Agama (SA) KAFA Kerteh 1, Dungun.

Sementara itu di Setiu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Ustaz Zul Bhari A Rahman ketika ditemui pemberita berkata, SRIDI Permaisuri akan ditempatkan di Bangunan Wisma Yayasan Islam Bandar Permaisuri dengan pengambilan seramai 50 orang pelajar Tahun Satu.

Kataya, sebanyak tiga pintu bangunan pejabat akan disewa dan melakukan sedikit penambahbaikan untuk memberi keselesaan dan memastikan keselamatan pelajar lebih terjamin.

"Kita memilih Bangunan Wisma Yayasan Islam kerana lokasi yang strategik di Bandar Permaisuri, memandangkan bangunan ini masih baru dan kita telah mengadakan lawatan tapak baru-baru ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, satu taklimat diadakan oleh Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Sahari Anwar Haji Ahmad, kelmarin bagi menerangkan perjalanan dan pengurusan SRIDI kepada Kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat dan i-MiTS DUN Permaisuri."-URUSETIA PENERANGAN DARUL IMAN

 

Berita dipetik daripada www.terengganu.gov.my