Menu
KHAMIS, 5 JANUARI 2023 : Majlis Amanat Tahun Baru 2023 Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu bersama Pegawai dan Kakitangan telah berlangsung di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) hari ini. Program rasmi yang menghimpunkan pegawai dan kakitangan seumpama ini adalah yang pertama diadakan sejak Tuan Haji M. Rozi Bin Haji Bidin dilantik dilantik sebagai Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu hampir setahun yang lalu. Program turut dihadiri oleh semua pegawai dan kakitangan JHEAT, Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), semua Pegawai Agama Daerah serta sebahagian pegawai dan kakitangan PAD.
 
Tuan Haji M. Rozi mengambil kesempatan merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan yang telah memberikan kerjasama erat sejak beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu. Beliau berharap komitmen yang ditunjukkan akan dapat diteruskan pada masa yang akan datang.

MAJLIS AMANAT TAHUN BARU 2023  MAJLIS AMANAT TAHUN BARU 2023

Dalam amanat yang disampaikan, Tuan Haji M. Rozi menekankan kepada seluruh warga kerja untuk menyedari peranan jabatan selaku peneraju utama pentadbiran dan pembangunan Hal Ehwal Agama Islam di negeri ini. Oleh sebab itulah, selain daripada meletakkan asas agama yang kukuh dalam diri, setiap warga kerja seharusnya mampu memperkembangkan kualiti diri sebagai penjawat awam dengan memiliki elemen pemikiran kreatif, gaya kepimpinan terpuji, prakarsa transformatif, idea inovasi, swadaya dan budi bahasa bernilai tinggi - semuanya terhimpun dalam satu pakej.
 
Selain daripada itu, Pesuruhjaya turut menyentuh tentang keperluan kerjasama sebagai satu pasukan, keutamaan menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan (delivery system) dan kepentingan memenuhi ekspektasi pelanggan. Elemen-elemen ini merupakan antara pra-syarat utama ke arah memastikan jabatan ini mampu membuat lonjakan prestasi seterusnya bersaing dengan jabatan dan agensi agama lain di seluruh negara.

 MAJLIS AMANAT TAHUN BARU 202   MAJLIS AMANAT TAHUN BARU 2023

Pesuruhjaya juga menzahirkan ucapan takziah kepada warga kerja yang telah terkesan akibat musibah banjir yang melanda semua daerah di Negeri Terengganu serta mendoakan agar semua mangsa tabah dalam menghadapi ujian ini dan moga Allah menggantikannya dengan rezeki yang lebih baik. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada warga kerja jabatan, Badan Kebajikan dan Sukan Jabatan Agama Terengganu (BERKAT) yang bersama-sama menyertai Misi Bencana Banjir di Besut dan Setiu baru-baru ini.
 
Mengakhiri ucapan, Pesuruhjaya mengingatkan semua warga kerja untuk menjaga nama baik jabatan dengan tidak menyerlahkan tingkah laku yang tidak sesuai dengan imej penjawat awam terutamanya di medium media sosial. Ini termasuklah dengan mempunyai kawalan kendiri yang baik dari segi cara melontarkan komen dan menapis sebarang foto atau video yang dimuatnaik.
Selepas selesai penyampaian amanat oleh Pesuruhjaya, semua warga kerja yang hadir telah mengangkat sumpah Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan menandatangani Perakuan Penjawat Awam sebagaimana ditetapkan oleh Akta Rahsia Rasmi 1972.

 

 

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu,

Pusat Pentadbiran Islam,

Kompleks Sri Iman,

Jalan Sultan Mohamed,

20676 Kuala Terengganu,

Terengganu Darul Iman.

Nombor Telefon 096252525

Nombor Faksimili 09-6235185

 

Alamat Emel  adminjheat@terengganu.gov.my

Go to top